10 Tips Juadah Hari Raya Tahan Lama Dan Kekal Fresh
Syawal Tiba Lagi
8 Jun 2018 pada hari ini maka bulan Ramadhan hanya tersisa 6 hari sahaja lagi sebelum kita menyambut hari yang dinantikan iaitu hari kemeriahan dan hari kemenangan setelah 30 hari umat Islam di seluruh dunia berpuasa menahan nafsu dari berlebih-lebihan.
Perasan atau tidak, di bulan puasa kita jarang sekali ada masalah dengan sistem penghadaman seperti sakit perut dan sebagainya (melainkan sakit gastrik alasan tak puasa) tetapi kalau di hari raya, sakit perut dah jadi sinonim.
Ini disebabkan kita menjaga makan kita dengan tidak keterlaluan. Tapi tidak dinafikan ada juga kes keracunan makanan yang dibeli dari PARAM (Pasar Ramadhan) dan juga sakit perut kerana terlebih makan.
Berbeza pula dengan apabila tiba hari raya.
Kita cenderung untuk makan banyak kerana telah 30 hari berpuasa sehingga seawal pagi sebelum solat Hari Raya dah masuk rendang ayam ke dalam perut sedangkan perut kita sudah terbiasa kosong di waktu pagi.
Apatah lagi kelaziman mak-mak kita akan masak juadah hari raya pada malam sebelum Hari raya.
Cara penyimpanan lauk-lauk adalah amat penting bagi memastikan ianya tahan lama dan masih boleh bertahan sehingga raya ke-2 mahupun ke-3!
Ini juga termasuk ‘Open House’ di mana sesetengah jemputan dari pagi hingga malam. Bagaimana menguruskan makanan dari pagi hingga malam agar lauk tersebut masih selamat dimakan.
Di sini kami kongsikan 10 tips-tips yang boleh diamalkan menjelang Hari Raya nanti dan sebenarnya harus diamalkan selalu.
10 Tips agar Juadah Hari Raya Tahan Lama
1. Kebersihan Diri
Terkejut bukan? Haha. Tetapi itulah hakikatnya. Pencemaran makanan yang paling awal sebenarnya bermula pada diri yang memasak.
Pastikan diri dalam keadan bersih iaitu dengan berkuku pendek, memakai pakaian bersih semasa penyediaan makanan dan memakai tutup kepala sewaktu memasak.
2. Kebersihan persekitaran & Alatan memasak
Selain keberihan diri, pastikan juga persekitaran dapur tempat memasak dalam keadaan bersih. Alatan seperti periuk dan senduk juga pastikan bersih.
Penggunaan alatan senduk kayu perlu perlu diberi perhatian lebih semasa dicuci kerana sifatnya kayu menyerap air takut sisa lama masih melekat di dalam kayu. Ingat, jangan lebih teruk dari dapur restoran 🙂
3. Bahan Mentah
Masakan Hari raya wajib ada santan. Pastikan santan yang dibeli masih segar dan elok. Periksa sekali lagi sebelum guna apakah masih baik atau tidak.
Seeloknya santan disimpan di dalam freezer selepas dibeli.
Bagi ayam pula, pastikan isi pejal, tidak berlendir, tidak berubah warna seakan lebam atau kehijauan, tidak berbau busuk dan pastikan ia kelihatan segar.
Penggunaan bahan lain pula pastikan ia belum tamat tempoh luput dan masih dalam keadaan elok iaitu tidak berkulat atau berdebu.
4. Proses Bahan Mentah
Memperoses bahan mentah terutama ayam hendaklah dicuci dengan bersih darah-darah serta kotoran lain. Pastikan proses pembersihan dilakukan ditempat yang bersih dan bukan diatas lantai.
TIPS EMAS DARI OTAI: Daging segar yang dibeli di pasar jangan basuh dan simpan. Terus disimpan di dalam Freezer. Hanya basuh apabila hendak di masak. Ini adalah kerana sekiranya dibasuh terlebih dahulu, ia akan mempercepatkan proses pembiakan bakteria pada daging tersebut.
5. Memasak
Memasak merupakan proses yang kritikal dalam penyediaan makanan. Pastikan bahan mentah seperti ayam, ikan, daging di nyahbekukan (defrost/thaw) terlebih dahulu. Takut luar nampak sedap, dalam masih sejuk berdarah haish.
Pastikan masakan benar-benar masak sepenuhnya sebelum api dimatikan untuk mengelakkan makanan separa masak. Tempoh masakan pula janganlah terlalu awal, esok raya tapi lepas asar dah siap masak untuk raya.
Seeloknya 4 jam sebelum dihidangkan tambahan dengan cara penyimpanan makanan yang baik.
6. Menghidang Makanan
Menghidang makanan makanan penting untuk memastikan lauk-lauk tahan lama. Pastikan semua makanan yang terhidang diletakkan senduk, penyepit atau sudu bagi mengelakkan diambil dengan menggunakan tangan.
Ingat, tangan merupakan kandang bakteria.
Gunakan perkakasan yang bersih dan dicuci terlebih dahulu dan dilap kering. Pastikan mangkuk lauk yang digunakan jenis yang bertutup.
Jangan sekali menindan pinggan ala-ala masakan padang kerana bawah pinggan tersebut pastinya tidak bersih.
7. Penyimpanan Makanan
Pastikan lauk yang tidak habis disimpan di dalam peti ais dalam keadaan bertutup. Elakkan membiarkan lauk di meja melebihi 2 jam.
Sekiranya perlu, panaskan semula sebelum dihidangkan.Sekiranya memerlukan ia sentiasa diluar seperti ‘Open House‘ sampai malam, pastikan lauk dipanaskan semula setiap 4 jam.
8. Pengurusan Lauk
Jangan sesekali campur lauk yang lama dengan lauk yang baharu. Andai kata lauk lama dah tak elok, alamatnya lauk baru pon jadi tak elok kalau dicampur.
9. Percaya dengan deria
Gunakan dan percaya dengan deria bau, Lihat dan Rasa. Sekiranya lauk sudah nampak berbuih dan dah ada bau basi pastikan terus buang.
Jangan “.. Eh boleh lagi ni.. boleh lagi ni..”.
Mungkin bagi sesetengah orang tidak mendatangkan kesan, tetapi ia akan memberi kesan kepada kanak-kanak dan orang tua di mana daya tahan badan yang lemah.
10. Pengawalan Lalat
Spesifik di sini nyatakan lalat walaupun serangga perosak ada banyak lagi tetapi lalat merupakan serangga kritikal kerana sifatnya yang kotor dan bertelur pada makanan.
Untuk pengawalan lalat, boleh gunakan lilin aromaterapi untuk menghindar lalat. Elok juga kalau guna yang bau serai wangi, katanya serangga tak suka betul dengan bau serai wangi.
Semoga Bermanfaat! 🙂